Friday, 24 August 2012

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari‘at Islam juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadis Qudsi): “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah melanjutkan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn ‘Affan, Riyadh, 2000). Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Dalilnya ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

No comments:

Post a Comment